Assalamualaikum,
kuliah selepas Maghrib kali ini adalah menyambung tafsir Al-Quran surah Al-Muddathir bermula dari ayat 32 hingga ayat 38. Ustaz yang mengajar ialah ustaz Muhammad Hilmi, berusia 38 tahun dan jika ana tidak silap merupakan seorang hafiz. Beliau pernah berguru dari Mesir hinggalah ke Indonesia. Macam yang ana kata dulu, program ni dah lama berjalan cuma ana sempat ikuti bila cuti semester jadi terlepaslah ana tafsiran pada kuliah sebelumnya iaitu dari ayat 1 hingga 31. Ustaz buat recall di mana Allah berfirman bahawa terdapat 19 malaikat yang menjaga neraka. Allah berfirman mengenai dasyatnya neraka namun orang kafir tidak percaya.
Ayat 32
Dalam ayat 32 Allah menyanggah orang kafir di mana neraka tidak seperti mereka fikirkan kerana orang kafir memperlekehkan neraka. Ustaz menerangkan apabila ada ayat menggunakan perkataan “Kal la” yang bermakna tidak sekali-kali tidak maka di ayat sebelumnya ada cerita. Dalam hal ini ceritanya ialah orang kafir memperlekehkan cerita tentang neraka.
Lalu Allah bersumpah atas nama bulan. Para mufasir mencari hikmah mengapa Allah bersumpah dengan nama bulan. Ini kerana apabila Allah bersumpah atas sesuatu, maka ia bermanfaat kepada berguna. Contohnya, Allah bersumpah atas nama buah Tin dan Zaitun yang banyak manfaat pada kesihatan manusia. Allah juga bersumpah atas nama masa di mana masa perlu dimanfaatkan oleh manusia. Dalam hal ini, antara sebab yang mungkin kepada Allah bersumpah atas nama bulan adalah kerana orang arab menggambarkan bulan sebagai suatu yang indah dan berguna. Bulan adalah penanda arah, pengiraan masa dan penting untuk pasang surutnya air.
Ayat 33 & 34
Ayat 33 dan 34 menerangkan tentang bulan di mana bulan pada waktu siang ia melenyapkan diri dan pada waktu subuh bulan kelihatan sangat terang. Ayat ini menceritakan bahawa dengan kasih sayang Allah maka Allah tunjukkan bulan walaupun ramai orang yang kufur. Menurut ustaz, orang kafir ni suka tengok mukjizat. Kadangkala dengan izin Allah, Rasulullah s.a.w tunjukkan dan kalangkala dengan izin Allah, Rasulullah s.a.w tidak tunjukkan. Orang kafir nak tengok bulan dibelah maka dengan izin Allah terbelahlah bulan. Orang kafir minta dihujani batu ke atas mereka tetapi tidak Rasulullah s.a.w berdoa sedemikian kerana rahmat Allah.
Ini sekaligus menunjukkan ciri-ciri Rasulullah s.a.w sebagai pemimpin kerana bersabar dengan kerenah umatnya. Pemimpin adalah orang yang boleh membawa manusia kepada Allah. Jika sebaliknya, maka mereka hanyalah pentadbir. Pemerintah yang tidak dapat membawa manusia ke jalan Allah bukanlah pemimpin tetapi pentadbir.
Menjadi pemimpin adalah sukar dan penuh dugaan. Oleh kerana itulah dalam ramainya nabi dan rasul, hanya 5 orang yang mendapat gelaran Ulul Azmi oleh Allah kerana ketabahan dan kesabaran mereka. Rasulullah s.a.w adalah salah seorang dari mereka. Rasulullah s.a.w diutuskan untuk membetulkan sistem manusia yang rosak, kerana itulah baginda dibekalkan dengan mukjizat Al-Quran.
Menurut ustaz, betapa kasihnya Allah pada manusia hinggakan Allah beri manusia masa dan peluang untuk berfikir dan bertaubat meskipun sebelum ini manusia kufur. Kasihnya Allah pada manusia sehingga diaturkan setiap individu perjalanan hidupnya dan rezekinya. Tanpa kasih Allah, hancurlah manusia. Di dalam Al-Quran telah menyebut bahawa manusia ini suka membantah.
Ustaz menyebut bahawa terdapat sabda Rasulullah s.a.w berkenaan gerhana matahari dan bulan dimana dalam hadis tersebut Rasulullah s.a.w mengatakan bahawa fenomena gerhana matahari dan bulan tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang mati. Ia adalah petunjuk kebesaran Allah. Maka pada waktu ini disunatkan bersolat, bersedekah dan mengagungkan Allah.
Allah mengizinkan penemuan untuk memudahkan kehidupan manusia. Tanpa keizinan Allah, tidak mungkin kita dapat menemukan teknologi contohnya telefon bimbit. Allah memudahkan manusia namun manusia tetap zalim dan kufur kepada Allah. Memandangkan Allah telah aturkan semua, maka manusia selaku khalifah perlu mentadbir dunia mengikut katalog yang Allah tetapkan. Jika tidak, maka berlakulah kerosakan di dunia ini kerana tangan-tangan manusia.
Ayat 35 & 36
Allah menceritakan tentang neraka Saqar. Saqar ialah nama neraka. Neraka ada banyak nama, contohnya Jahannam. Allah menceritakan bahawa neraka Saqar adalah masalah yang besar bagi orang yang tidak beriman. Selaku orang beriman, kita mendengar dan percaya meskipun tidak dapat melihat. Neraka adalah peringatan kepada manusia supaya orang yang tidak beriman masih berpeluang untuk bertaubat.
Ustaz mengatakan kita patut mengikut jejak Rasulullah s.a.w dalam memartabatkan Islam. Untuk masuk ke syurga dengan izin Allah, kita bukan saja membawa bersama pahala solat, puasa, haji, zakat namun membawa bersama pahala dari kesabaran, ketabahan dan sebagainya. Allah membalas pahala orang yang bersabar dengan pahala yang tidak dihisab.
Menurut ustaz, para rasul diuji Allah dengan sangat hebat berbanding kita. Ditambah ustaz bahawa pahala orang sebelum pembukaan kota Mekah dan selepas pembukaan kota Mekah adalah tidak sama. Pahala sebelum pembukaan kota Mekah ganjaran 1 kebaikan ialah pahala yang tanpa dihisab manakala selepas pembukaan kota Mekah ganjarannya ialah 10 kebaikan. Ini kerana orang yang mengikut Rasulullah s.a.w adalah orang yang benar-benar yakin dengan kata Rasulullah s.a.w.
Orang beriman akan diuji samada melalui kesenangan atau kesusahan. Ketika itu syaitan akan datang mengganggu. Kerana itulah Rasulullah s.a.w mengajar kita untuk berdoa agar ditambahkan kesabaran dan ditetapkan pendirian. Selalu beristigfar kerana syaitan tidak suka orang beristigfar.
Menurut kata ustaz lagi, Imam Syafie adalah seorang imam yang hebat dan berilmu. Beliau diuji Allah dengan penyakit buasir. Meskipun beliau sakit akibat buasir, beliau tetap mengajar anak muridnya. Imam Syafie adalah ahlul bait iaitu keturunan Rasulullah s.a.w. Bersyukurlah kerana kita mengikut mazhab Syafie.
Ayat 37
Ayat ini mentafsirkan di mana orang yang mengambil peringatan akan maju ke hadapan manakala orang yang gagal mengambil peringatan akan mundur ke belakang. Perkara akhirat tidak sukar dilakukan cuma kita perlu mendidik hati. Didik anak untuk bersolat sejak kecil lagi supaya anak merasai solat itu suatu tanggungjawab yang wajib dipenuhi. Utamakan akhirat dan dunia akan menyusul bersamanya.
Orang yang beriman akan melihat dunia ini seperti syurga sementara sebelum ke syurga yang sebenar dan ini dijelaskan dalam Al-Quran. Ustaz juga memberi amaran supaya berwaspada kerana musuh-musuh Allah berusaha melalaikan umat islam melalui makanan dan hiburan. Umat islam sekarang dipermain-mainkan. (Contohnya isu Palestin dan Rohinya)
Ayat 38
Setiap manusia adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai apa yang dipimpin. Rasulullah s.a.w yang maksum pun diriwayatkan bertaubat lebih dari 100 kali dalam sehari. Baginda memberi contoh betapa manusia perlu bertaubat kepada Allah.
Ustaz mengakhiri perbincangan tafsir Al-Quran dengan menyatakan bahawa untuk mentafsir Al-Quran perlulah dari sumber yang betul iaitu para sahabat kerana mereka yang duduk dekat dengan Rasulullah s.a.w. Sesiapa yang tafsir mengikut pendapat sendiri dan bukan berdasarkan pendapat para sahabat adalah ahli neraka.
Semoga ana istiqamah dalam penulisan ana, wassalam.

