Lima Perkara Yang Allah Perintahkan Kepada Rasulullah s.a.w

Assalamualaikum,

kuliah Maghrib kali ini diberikan oleh Tuan Guru Hj Tajuddin Jali. Pada mulanya ana tak dapat cam siapalah gerangan ni, sebab memang teramatlah biasa dilihat terutama cara pemakaian serban dan janggut, rupanya beliau salah seorang yang datang memberi ceramah di Pusat Motivasi At-Taqwa secara percuma. Ana pun tidak pasti apa topiknya tapi perbincangan adalah berlandaskan sebuah kitab yang ana tak sempat ambil. Perbincangan adalah meliputi skop hadis.

Sebelum memulakan perbincangan, tuan guru ada menyebut sesuatu yang menarik untuk ana praktikkan.

Seperti biasa, sebelum kita bermula. Marilah kita sedekahkan Al-Fatihah buat pengarang kitab ini yang telah membantu kita menimba ilmu dan disedekahkan terus pada yang membantunya sehinggalah kepada Rasulullah s.a.w

Jadi, perbincangan adalah berkenaan hadis ini. Ana tak dapat tangkap sepenuhnya dan tak berani nak minta tumpang tengok dengan kariah sebab kebanyakannya lebih tua dari ana. Hadisnya lebih kurang beginilah, Rasulullah s.a.w bersabda aku perintahkan kamu 5 perkara yang Allah telah perintahkan kepadaku iaitu

  1. berjemaah (bersatu)
  2. mendengar kata
  3. taat kepada pemimpin
  4. hijrah
  5. jihad

Ada lagi sambungan hadis ini tapi ana tak ingat. Cuma yang ana ingat tuan guru beritahu jika tiada yang lima ini dalam kehidupan seorang muslim yang beriman, maka tambahlah sehingga cukup semuanya. Menjadi seorang beriman bukan sekadar memenuhi tuntutan solat, berpuasa, berzakat dan haji tetapi juga yang diatas itu berdasarkan hadis.

Berjemaah

Tuan guru kemudian mendefinisikan maksud berjemaah. Berjemaah bermaksud mengikatkan diri dengan jemaah islam. Untuk menjadi orang yang beriman, perlulah mengikat diri dengan jemaah islam. Firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 119 “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar.” Menurut tuan guru, jika hanya ada ilmu dan taqwa maka ada kekurangan dalam muslim itu jika disandarkan pada ayat ini.

Mendengar Kata

Tuan guru menyatakan apabila berada di dalam jemaah islam, maka perlulah mendengar kata pemimpin. Pemimpin jemaah mengambil tempat sebagai khalifah apabila ia wujud di negara yang bukan di bawah pemerintahan islam. Namun begitu, boleh ada ruang untuk perbincangan dan pemberian pendapat. Jika berlaku perbalahan, maka ingatlah firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 59 “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan orang yang berkuasa ke atas kamu dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (Al-Quran) dan RasulNya (Hadis) – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” Tambah tuan guru, kedegilan untuk mendengar kata boleh menyebabkan porak peranda jemaah sedangkan jemaah ada tugas yang lebih penting iaitu mengembalikan syiar islam.

Taat Kepada Pemimpin

Menurut tuan guru, pemimpin perlu ditaati. Namun perbincangan dan pemberian pendapat boleh diberikan dalam keadaan penuh berakhlak. Saidina Omar r.a pernah berkata “Tiada makna jemaah tanpa pemimpin, tiada makna pemimpin tanpa ketaatan”. Tidak mentaati pemimpin adalah berdosa. Namun begitu, pemilihan pemimpin untuk ditaati mestilah betul dan sudah pasti Allah telah menggariskannya.

Bagi contoh pemimpin yang baik, Allah berfirman di dalam surah Al-Anbia’ ayat 73 “Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua yang memimpin (manusia ke jalan yang benar) dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan, dan mendirikan sembahyang, serta memberi zakat; dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami.”

Bagi contoh pemimpin yang buruk, Allah berfirman di dalam surah Al-Qasas ayat 41-42 “Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua (dalam kesesatan) yang mengajak ke neraka (dengan kekufuran), dan pada hari kiamat pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan. Dan kami iringi mereka dengan laknat di dunia ini, dan pada hari kiamat pula adalah mereka dari orang-orang yang tersingkir (dari rahmat Kami) dengan sehina-hinanya.”

Hijrah

Menurut tuan guru, di dalam Islam ada dua hijrah. Hijrah pertama adalah umat islam berhijrah ke Habsyah iaitu perpindahan manakala hijrah kedua ialah perubahan. Sebaik sahaja berlaku pembukaan kota Mekah, maka tiada lagi hijrah perpindahan. Yang ada adalah hijrah perubahan.

Di dalam Al-Quran disebut tentang dua jenis hijrah iaitu

  1. Hijrah perubahan mendekatkan diri kepada Allah
  2. Hijrah perubahan menjauhkan diri dari Allah

Kedua-duanya ada ayat Al-Quran tapi ana kurang jelas mendengarnya dan sudah pasti ana tak dapat nak cari sebab Al-Quran itu tersangatlah banyak perkataan melainkan dengan izin Allah jua.

Kupasan terakhir berkaitan jihad tidak sempat dikupas kerana jam menunjukkan pukul 9:15 malam dan jemaah masih belum bersolat. Maka berlaku sesi soal jawab dan diakhiri dengan solat Isyak berjemaah. Ana minat mendengar ceramah beliau kerana beliau mengemukakan ayat Al-Quran dan tidak pula ego meminta disemak. Tuan guru memanggil ana dan menyebut “Sahabat, tolong tengok dalam Al-Quran betul tak surah dan ayat yang saya sebutkan, maklumlah kita bukannya maksum.” Sangat lembut dan merendah diri.

Semoga ana istiqamah dalam penulisan ana, wassalam.

This entry was posted in Tazkirah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>